Gangguan seksual: Adam Adli kecewa petugas media jadi mangsa

Gangguan seksual: Adam Adli kecewa petugas media jadi mangsa

ADAM Adli Abdul Halim (kanan) ketika menghadiri Program Kayuhan Komuniti Sihat sempena kempen PRK DUN Sungai Bakap di Sungai Kechil, Nibong Tebal, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Timbalan Ketua Angkatan Muda Harapan, Adam Adli Abdul Halim kecewa dengan insiden gangguan seksual melibatkan seorang wartawan wanita yang sedang bertugas pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan siasatan polis wajar dilakukan secara telus dan adil berhubung insiden berkenaan.

“Saya dapat tahu daripada media juga (insiden gangguan seksual). Ya, agak kecewa dan saya berharap agar polis dapat jalankan siasatan dengan seadilnya,” kata beliau.

Adam Adli ditemui pemberita semasa menghadiri Program Kayuhan Komuniti Sihat sempena kempen PRK DUN Sungai Bakap di Sungai Kechil, di sini malam tadi.

Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku ketika sesi sidang akhbar bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas selesai majlis perjumpaan pemimpin, malam semalam.

Sementara itu, Presiden Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (Mutiara), Mohd. Iskandar Othman turut meluahkan rasa kesal dengan kejadian yang berlaku kerana mangsa yang terlibat merupakan seorang petugas media tempatan.

“Kejadian seumpama ini tidak sepatutnya berlaku di saat kumpulan pengamal media sedang sibuk menjalankan tugasan yang diamanahkan.

“Wartawan bukan alat atau objek untuk sesiapa dan diharapkan agar individu terlibat diheret ke muka pengadilan dengan segera,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN