PETALING JAYA: Gabungan Perpaduan menghormati dan menerima kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang berlangsung dengan lancar dan aman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau penuh tawaduk menerima suara rakyat Sungai Bakap yang berlangsung ketika negara sedang meniti fasa penyesuaian dengan gelombang perubahan sedang giat dilaksanakan di bawah hala tuju baharu Kerajaan Madani.
“Kerajaan Madani menginsafi keputusan ini dengan menggilap azam memperhebat usaha membela nasib rakyat dan sekali gus menjayakan agenda mengangkat martabat dan darjat rakyat serta negara.
“Dengan dasar dan komitmen yang jitu, Gabungan Perpaduan akan terus mengukuhkan kesatuan dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif bertepatan dengan realiti hari ini dan anjakan baharu negara yang sedang berjalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan Perikatan Nasional (PN) kekal menguasai kerusi apabila calonnya, Abidin Ismail memperoleh kemenangan selesa pada hari pengundian semalam.
Abidin, 56, yang juga Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin, 60, dengan majoriti 4,267 undi.
Bekas eksekutif logistik yang mesra dengan panggilan Abang Abidin memperoleh 14,489 undi manakala lawannya, Joohari atau Cikgu Jo sekadar mendapat 10,222 undi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, penyandang kerusi DUN Sungai Bakap sebelum ini iaitu Alllahyarham Nor Zamri Latiff yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal diangkat menjadi wakil rakyat selepas menewaskan calon PH ketika itu, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. –UTUSAN










