ALOR SETAR: Sebuah feri membawa 259 penumpang dari Langkawi menuju ke Kuala Kedah terpaksa berpatah balik ekoran berdepan ombak kuat selepas hampir 30 minit berlayar.
Pengurus Besar Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, feri tersebut berlayar dari Terminal Feri Penumpang Kuah di Langkawi kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.
“Setelah 25 minit berlayar, feri tersebut terpaksa berpatah balik ketika tiba di kedudukan 15 batu nautika dari Pulau Langkawi akibat laut bergelora dengan ombak kuat setinggi empat meter.
“Kami memutuskan untuk feri kembali ke Langkawi kerana tidak mahu mengambil sebarang risiko dan setakat ini belum diputuskan status kepada penumpang terlibat memandangkan feri masih sedang berpatah balik ke Langkawi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, akhbar ini melaporkan kira-kira 1,698 penumpang feri terkandas setelah syarikat itu terpaksa membatalkan tiga perjalanan di sebelah petang ekoran cuaca buruk di laut dengan ombak setinggi empat meter.
Pembatalan itu melibatkan laluan Langkawi ke Kuala Kedah dan sebaliknya melibatkan trip pada pukul 2.30 petang dari Langkawi ke Kuala Kedah; 4.30 petang dari Kuala Kedah dan masing-masing 4.30 petang serta 6 petang dari Langkawi. -UTUSAN










