BESUT: Bermula dengan mengisi masa lapang, dua sahabat berjaya menuai hasil lebih satu tan sayur kangkung yang ditanam secara hidroponik dalam tempoh sebulan di Kampung Gong Kepas di sini.
Muhammad Syafiq Madzlan, 29, berkata, sejak Januari lalu, dia dan sahabatnya, Zulfitri Ahmad, 27, memulakan tanaman kangkung bagi memperoleh pendapatan sampingan.
Bagaimanapun, dia tidak menyangka usaha tersebut membuahkan hasil memberangsangkan sehingga mampu meraih pendapatan kira-kira RM4,000 dalam tempoh berkenaan.
“Saya bekerja secara sambilan di sebuah syarikat swasta dan mempunyai banyak masa terluang. Disebabkan itu saya dan Zulfitri berpakat untuk mencuba bidang pertanian moden ini.
“Bagi menjayakan projek ini, kami berdua menyewa dan memanfaatkan tanah terbiar seluas 0.2 hektar bermodalkan RM35,000,” katanya ketika ditemui di Kampung Gong Kepas di sini.
Sementara itu, Zulfitri berkata, permintaan terhadap kangkung hidroponik yang diusahakan itu mendapat permintaan tinggi sehingga mereka terpaksa mengehadkan pembelian bagi setiap pelanggan.
“Setakat ini pengeluaran kangkung kita mencecah 300 kilogram seminggu dan menuai serta menjualnya tiga kali dalam tempoh seminggu itu.
“Kalau ikutkan jumlah itu tidak mencukupi apabila permintaan daripada pelanggan terdiri daripada pengusaha kantin, restoran serta individu sentiasa bertambah,” katanya.
Katanya, mereka menawarkan harga sebanyak RM5 bagi satu kilogram kangkung yang dijual secara runcit.
Ujarnya, mereka juga sedang merancang untuk meluaskan tanaman hidroponik dengan pelbagai tanaman kontan lain termasuk sayur sawi –UTUSAN










