Dua nelayan Indonesia didakwa edar 10.6kg methamphetamine - Utusan Malaysia

Dua nelayan Indonesia didakwa edar 10.6kg methamphetamine

DUA nelayan warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 10,610 gram, minggu lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Dua nelayan warga Indonesia berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 10,610 gram, minggu lalu.

Tertuduh, Jasli, 48, dan Budi Heriansyah, 42, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 10,610 gram di kawasan Jeti Nelayan Kampung Bagan Sungai Tiang, Selekoh dalam daerah Bagan Datuk pada pukul 10 malam, 15 Julai 2024.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 September depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan Kimia.

Media sebelum ini melaporkan, sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah antarabangsa yang menjadikan kawasan jeti nelayan Sungai Tiang sebagai transit tumpas berikutan tertangkapnya dua lelaki warga Indonesia pada 15 Julai lalu.

Tangkapan dibuat ketika kedua-dua suspek terbabit baru sahaja tiba di jeti berkenaan.

Berdasarkan siasatan, sindiket itu menggunakan jalan laut dan menjadikan jeti nelayan di Sungai Tiang sebagai transit sebelum bekalan dadah itu dibawa ke lokasi lain.

Hasil siasatan mendapati dadah yang dirampas itu diperoleh dari negara jiran untuk diedarkan bagi pasaran negara luar. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×