Dua lelaki didakwa edar 51.5 kg methamphetamin - Utusan Malaysia

Dua lelaki didakwa edar 51.5 kg methamphetamin

MOHAMAD Faez Abdul Halim (tengah) dan Shahrul Izhar Takhirul Anuar (dua dari kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 51,501 gram. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Dua lelaki yang ditahan minggu lalu kerana dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ sindiket pengedaran dadah, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini.

Tertuduh, Mohamad Faez Abdul Halim, 33, dan rakannya, Shahrul Izhar Takhirul Anuar, 31, didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 51,501 gram.

Perbuatan itu dilakukan kedua-dua tertuduh di hadapan sebuah bangunan kedai di Persiaran Bougainville Utama dalam daerah Kuala Kangsar pada pukul 4.10 petang, 16 Mac 2024.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman gantung sehingga mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantung, boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Kedua-dua tertuduh mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Shazmeer Zamhari.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Mohamad Faez yang berkerja sebagai operator kilang dan Shahrul Izhar yang juga jurudawai elektrik.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin dan hanya Shahrul Izhar diwakili Hennie Soraya Hanafi yang bertindak sebagai peguam.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dan menetapkan 22 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Menerusi laporan media pada 17 Mac lalu, dua lelaki yang aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak empat bulan lalu diberkas bersama 51.5 kilogram dadah bernilai RM2.5 juta.

Kedua-dua lelaki warga tempatan itu bertindak sebagai transporter dengan seorang daripada mereka menerima upah lumayan sebanyak RM50,000 manakala rakannya pula dibayar RM500.

Difahamkan, bekalan dadah itu diseludup masuk dari negeri di utara Malaysia menggunakan kereta untuk dijual di pasaran tempatan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×