SANDAKAN: Dua beranak ditahan reman tujuh hari kerana disyaki terlibat dalam pengeluaran pas lawatan IMM13 bagi pelarian Filipina yang didalangi beberapa petugas sebuah agensi penguat kuasa, di daerah ini.
Perintah reman sehingga 2 Ogos dikeluarkan Majistret Marilyn Kelvin setelah permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Sandakan hari ini.
Menurut sumber, suspek pertama iaitu seorang wanita berusia 50-an dipercayai melakukan perbuatan tersebut bersama anak perempuannya yang berusia 30-an.
Mereka ditahan kira-kira pukul 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan.
“Kedua-dua beranak itu dipercayai berperanan sebagai orang tengah dalam menguruskan lanjutan permohonan pas lawatan IMM 13 kepada pelarian daripada Filipina yang datang berlindung di Sabah akibat pergolakan sekitar awal 1970-an.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak 2022 dan ia melibatkan wang rasuah berjumlah kira-kira RM20,000,” katanya.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan akan dibuat susulan penahanan tersebut.- UTUSAN










