KUALA LUMPUR: Badan Peguam memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Peguam Negara memberhentikan prosiding terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Notis rayuan itu difailkan pada 23 Julai lalu di Mahkamah Rayuan. Perkara itu turut disahkan oleh peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid.
Pada 27 Jun lalu, Hakim Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman tersebut atas alasan antaranya permohonan yang difailkan oleh badan itu bukanlah sesuatu yang boleh diputuskan oleh mahkamah.
Selain itu, mahkamah turut mendapati Badan Peguam tidak memenuhi keperluan yang ditetapkan untuk memulakan semakan itu.
Pada tarikh sama, Mahkamah Tinggi turut menolak permohonan Badan Peguam untuk merujuk beberapa persoalan undang-undang berkaitan permohonan mereka ke Mahkamah Persekutuan atas alasan persoalan undang-undang yang ingin diajukan bukanlah persoalan yang sesuai dan tidak memenuhi keperluan asas untuk dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.
Pada 4 September 2023, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada lapan pertuduhan rasuah, 12 dakwaan pecah amanah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Ia selepas pihak pendakwaan memaklumkan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid.
Pada 2 Disember 2023, Badan Peguam memfailkan permohonan semakan kehakiman dan memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon supaya Ahmad Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan, dibatalkan.
Menurut permohonan semakan kehakiman yang difailkan, Badan Peguam memohon deklarasi bahawa perintah DNAA itu terbatal dan tidak sah selain dibuat melangkaui bidang kuasa (ultra vires) serta kuasa yang diberikan kepada Peguam Negara mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Badan Peguam juga memohon perintah mandamus daripada mahkamah untuk mengarahkan Peguam Negara bertindak mengikut undang-undang di bawah Seksyen 254A Kanun Tatacara Jenayah dengan mendakwa semula Ahmad Zahid.
Turut dimohon perintah agar Peguam Negara membekalkan maklumat, dokumentasi, sebab, asas dan butir-butir yang menyebabkan keputusan bagi memohon DNAA itu dicapai kepada Badan Peguam Malaysia.
Badan Peguam Malaysia mendakwa Peguam Negara bertindak secara ultra vires ketika memohon DNAA terhadap Ahmad Zahid dan keputusan itu juga adalah tidak munasabah atau rasional.- UTUSAN










