DEWAN NEGARA: KWSP banyak duit, kedudukan kewangan tidak terjejas DEWAN NEGARA: KWSP banyak duit, kedudukan kewangan tidak terjejas

DEWAN NEGARA: KWSP banyak duit, kedudukan kewangan tidak terjejas

AMIR Hamzah Azizan semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini. - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kedudukan kewangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak terjejas walaupun sejumlah RM145 bilion wang dikeluarkan dalam empat pengeluaran sewaktu negara berdepan kesan pandemik Covid-19.

Memuatkan artikel berkaitan…

Empat kemudahan pengeluaran KWSP yang dibenarkan kepada pencarum dalam tempoh pandemik ialah i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas. KWSP turut mengurangkan kadar caruman berkanun syer pekerja bagi tempoh 27 bulan (April 2020 sehingga Jun 2022).

Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengurusan KWSP masih mampan selain institusi itu mempunyai jumlah aset bernilai RM1.2 trilion.

Bagaimanapun, beliau mengakui, disebabkan pengeluaran dalam empat transaksi KWSP sebelum ini, ramai dalam kalangan pencarum menyaksikan simpanan di usia persaraan mereka terjejas.

“Kalau lihat situasi Covid-19 adalah situasi luar biasa yang tidak pernah kita alami dan kekangan berlaku kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan ramai rakyat tidak dapat menjana pulangan untuk meneruskan kehidupan.

“Jadi, kerajaan ketika itu membenarkan pengeluaran wang simpanan yang ada iaitu RM145 bilion dalam keempat-empat pengeluaran.

“Namun, walaupun pengeluarannya besar, tetapi, ini tidak menjejaskan kewangan KWSP. Pengurusan KWSP masih mampan, kalau lihat dari segi saiz dananya pun masih besar lagi,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh (UMNO) yang bimbang dan menyorot keputusan Kabinet terdahulu yang membenarkan pengeluaran wang caruman beberapa kali sebelum ini dan jika ia menjejaskan kedudukan kewangan KWSP.

Pada Ogos 2022, Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd. Shahar Abdullah ketika itu memberitahu, sebanyak RM155 bilion simpanan ahli KWSP dikeluarkan menerusi pelaksanaan empat fasiliti pengeluaran berkaitan Covid-19.

Katanya, ia terdiri daripada RM145 bilion amaun dikeluarkan oleh ahli di bawah keempat-empat program pengeluaran dan hampir RM10 bilion impak daripada program pengurangan kadar caruman berkanun syer pekerja.

Pada Januari tahun lalu, Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein berkata, pengeluaran RM145 bilion oleh 8.1 juta ahlinya menerusi empat siri kemudahan pengeluaran ketika pandemik Covid-19 menyebabkan pengurus dana persaraan itu ‘terlepas’ peluang mengembangkan aktiviti pelaburannya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN