PETALING JAYA: Kerjasama dengan semua pemain industri digital akan diperkukuhkan bagi merangka dasar memperkasa industri tersebut di negara ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kerjasama tersebut sekali gus dapat membantu kerajaan meneliti cabaran yang bakal didepani pada masa akan datang.
Justeru, katanya, semua ketua industri berkaitan diminta hadir ke kementerian untuk memberi pandangan mengenai garis panduan dan dasar digital yang bakal dibentuk.
“Jadi, pengalaman yang mereka dapat daripada perjalanan dahulu hingga sekarang sangat penting supaya kita dapat menyediakan garis panduan untuk kita bergerak ke hadapan.
“Saya berpendapat adalah penting untuk kita memahami bahawa kita tidak boleh melakukan perkara itu secara bersendirian.Saya memaklumkan bahawa saya memerlukan bantuan mereka bagi membincangkan cara kita merangka dasar untuk membolehkan Malaysia bergerak ke hadapan dengan input daripada industri dan sudah tentu kerajaan akan membantu sekadar yang termampu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kerjasama itu bukan sekadar membolehkan kerajaan mengetahui masalah berkaitan sektor digital sebelum ini tetapi juga untuk melihat cabaran pada masa akan datang.
“Kita mampu mencapai sasaran sumbangan ekonomi digital sebanyak 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2025.
“Perkara itu dapat direalisasikan apabila semua pihak termasuk rakyat memanfaatkan platform yang disediakan oleh kerajaan untuk mengembangkan perniagaan mereka,” jelasnya.
Katanya lagi, semua pihak perlu memberikan usaha yang mencukupi bagi memastikan bahawa setiap rakyat mahir menggunakan platform-platform digital ini untuk kebaikan dan mengubah cara perniagaan mereka. – UTUSAN









