Dari segi moralnya mereka perlu letak jawatan - Idris Ahmad

Dari segi moralnya mereka perlu letak jawatan – Idris Ahmad

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Perdana Menteri secara moralnya perlu meletak jawatan kerana tidak lagi menyokong parti itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, mereka perlu mengosongkan kerusi tanpa perlu menunggu Speaker Dewan Rakyat membuat keputusan mengenai kedudukan mereka di Parlimen.

“Mereka sepatutnya secara moralnya letak jawatanlah, tak perlu tunggu orang suruh kosongkan atau keputusan Speaker dan sebagainya.

“Pada saya, kalau mereka dah tak suka pada parti, tak suka pada kepemimpinan, letak jawatanlah kerana mereka bertanding atas mandat yang diberikan oleh parti. Sepatutnya begitulah,  senang.

“Lagipun apa sebab mereka menyokong kerajaan? Apa alasan yang mereka tak sokong PN (Perikatan Nasional). Kalau ada asas yang kuat tak apalah, apa asas dia yang ada?

“Selain itu, dari segi pandangan politik rakyat terhadap kepemimpinan PH (Pakatan Harapan) hari ini, tiba-tiba mereka boleh bersama PH, jadi ini menyebabkan rakyat marah terhadap mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika bersama penduduk menunaikan solat istisqa’ secara berjemaah untuk memohon hujan berikutan cuaca panas menyebabkan paras air di Tasik Bukit Merah surut, di sini hari ini.

Sebelum ini, Bersatu mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul  meminta supaya enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyatnya dikosongkan.

Ia susulan keahlian mereka digugurkan serta merta kerana gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Sementara itu, ditanya sama ada Pas akan meletakkan calon jika berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di Bukit Gantang, Idris berkata, perkara itu akan dibincangkan di peringkat tertinggi PN.

Jelasnya, namun perkara paling penting ialah PN akan meletakkan calon yang boleh menang tanpa mengira daripada parti mana.

“Kita bertanding bukan atas peribadi tapi jenama PN yang sudah diterima.  Kalau PRK di Bukit Gantang, kita yakin boleh menang seperti sokongan yang kita terima di PRK Sungai Bakap daripada  pengundi Melayu seramai 60 peratus di sana, terutama 80 peratus anak muda.

“Juga kita menerima sokongan daripada akar umbi UMMO yang agak kesal terhadap kepemimpinan parti. 

“Mereka tak boleh terima apa yang dibuat kepemimpinan UMNO hari ini (bekerjasama dengan PH) bukan sahaja di Sungai Bakap. Saya selalu berkawan dengan orang UMNO, mereka melahirkan rasa tak puas hati terhadap apa yang berlaku, berlaku  penolakan peringkat tinggi UMNO kerana bekerjasama dengan PH,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN