LOS ANGELES: Penyanyi pujaan ramai, Celine Dion, bakal membuat kemunculan semula menerusi sebuah persembahan istimewa sempena majlis pembukaan sukan Olimpik Paris 2024.
Celine, yang menderita sindrom masalah saraf, dijadualkan membuat persembahan pada sesi perarakan bot di sepanjang sungai Seine, esok.
Portal TMZ melaporkan, penyanyi berketurunan Perancis dan Kanada itu dibayar AS$2 juta (RM9.3 juta) bagi satu lagu.
Penganjur juga bersetuju menampung semua kos perjalanan, termasuk penginapan penyanyi itu di hotel Le Royal Monceau yang bertaraf lima bintang.
Penyanyi berusia 56 tahun itu awal tahun ini menyuarakan kesediaannya untuk kembali beraksi dan meneruskan siri persembahannya di Las Vegas meskipun sedang bertarung nyawa dengan penyakit tersebut.
“Melawan penyakit ini adalah salah satu perkara yang paling sukar dalam hidup saya.
“Tapi saya tetap yakin satu hari nanti saya akan kembali ke pentas dan hidup normal semula,” katanya.










