PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan perlu mencari strategi baharu bagi mengubah persepsi pelajar yang sering menganggap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai sukar dan mudah untuk gagal dalam peperiksaan.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, jika tanggapan tersebut tidak diubah dengan segera, pelajar akan berterusan beranggapan seperti itu dan akhirnya negara yang rugi.
Katanya, kerajaan juga perlu mencari punca utama kekurangan pelajar STEM supaya isu itu boleh ditangani dengan berkesan.
“Bagaimana kita mahu rawat penyakit jika kita tidak tahu puncanya. Perkara ini sama dengan bidang STEM,’’ katanya.
Sementara itu, kurang penguasaan kemahiran asas 3M iaitu membaca, mengira dan menulis menjadi salah satu punca kepada kemerosotan pelajar untuk memilih bidang STEM.
Timbalan Pengerusi Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad berkata, jika masalah ini tidak dapat diselesaikan dari peringkat pendidikan rendah, maka akan memberi kesukaran apabila memasuki pendidikan tahap tinggi kerana subjek menjadi semakin moden dan sukar.
“Kaedah pengajaran Sains dan Matematik oleh para guru juga masih menggunakan cara lama seperti kaedah mengajar dalam kelas kuliah yang menyebabkan pelajar cepat bosan, sekali gus hilang minat terhadap aliran Sains.
“Silibus Sains Tulen tidaklah terlalu sukar dan ia mengikuti piawaian yang dibenarkan. Namun, perkara itu berdepan masalah apabila ada guru tidak mampu menghabiskan kesemua topik dalam tempoh pengajaran yang singkat, ditambah dengan penghayatan pelajar yang rendah
Semalam akhbar ini melaporkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menyediakan 100 saintis bioteknologi ke 100 buah sekolah bagi meningkatkan minat murid terhadap STEM. – UTUSAN











