PETALING JAYA:Pelakon, Rita Rudaini, 48, menyelar tindakan pasangan suami isteri pempengaruh yang secara terbuka berkongsi pengalaman mereka saat ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini yang seolah-olah bangga dengan apa yang terjadi.
Kata Rita, perkara seperti itu tidak sepatutnya diceritakan kepada pihak umum kerana mampu untuk memberi pengaruh yang buruk kepada masyarakat.
“Cakap merapu ini, tidak layak digelar pempengaruh, baik tukar jadi tukang karut. Ramai yang teringin nak popular.
“Macam mana ya nak cakap, jangan jadikan benda tu normal kena gari. Kalau saya dulu shooting kena gari dan kena masuk bilik akhir hukum gantung, saya boleh cakap ia adalah ‘satu pengalaman’ untuk saya rasa.
“Tak payahlah ulas, nanti ada yang tak boleh berpikir dan anggap benda kena gari‚ kena tangkap ini seronok nak cuba sebagai ‘pengalaman’,” katanya menerusi hantaran di Instagram story.
Pelakon Mami Jarum itu turut juga turut menyelar tindakan segelintir pempengaruh yang diibaratkan menunggang agama dengan melakukan amal kebaikan demi menutup kesalahan yang dilakukan.
“Kadang-kadang nak tutup malu dan salah, mulalah nak terangkan panjang-panjang. Tiba-tiba teringat nak buat doa selamat dan nak berbakti kepada anak-anak yatim.
“Mungkin boleh nampak baik, suci dan murni. Mulalah menunggang apa yang boleh ditunggang. Hati meronta-ronta nak buat sesi siarang langsung, kongsi kalimat-kalimat suci dan macam-macam lagi.
“Benda itu semua nak sedapkan dan puaskan hati sendiri,” ujarnya lagi menerusi hantarannya di Instagram story.
Selain itu, Rita juga turut menyarankan segelintir pempengaruh untuk berdiam diri dan tidak melakukan perkara yang boleh menimbulkan kemarahan ramai.
“Memang susah nak puaskan hati orang dan tak perlu pun. Lebih baik diam supaya tidak timbul isu-isu baru yang boleh buat orang marah, rasa jengkel, salah faham dan apa-apa sahajalah,” ujarnya.-UTUSAN