PETALING JAYA: Penyertaan Malaysia dalam kumpulan ekonomi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) bakal membuka peluang besar dalam perkhidmatan pengkomputeran awam dan Teknologi Kecerdasan (AI) negara ini.
Penganalisis Ekonomi, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Lee Chin berkata, Malaysia memiliki kelebihan tersendiri seperti kos elektrik dan air yang lebih murah berbanding negara-negara lain.
“Pusat data memerlukan air yang banyak untuk sistem penyejukan, dan Malaysia memiliki bekalan air mencukupi selain kos air yang lebih rendah berbanding kebanyakan negara lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya penyertaan Malaysia dalam BRICS akan memberi kekuatan baharu kepada negara kerana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan itu mencecah AS$26.6 trilion (RM125.23 trilion).
Jumlah tersebut bersamaan 26.2 peratus daripada KDNK dunia sekali gus membuka ‘jalur’ baharu yang bakal memberi manfaat kepada syarikat-syarikat dan ekonomi di Malaysia.
Mengulas lanjut, Lee Chin berkata, langkah yang ditunjukkan kerajaan dalam mempergiatkan sektor digital Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) juga dapat memastikan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan sektor pusat data dan pengkomputeran awan.
Kata beliau, pilihan Malaysia menyertai blok ekonomi itu dilihat sangat tepat dengan perkembangan Malaysia.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, sumber gas asli dan minyak sawit antara sektor yang bakal menerima impak positif sebaik Malaysia menyertai BRICS.
“Potensi kemasukan pelaburan asing melalui BRICS dengan kemasukan negara-negara baharu bakal melonjakkan hampir 30 peratus dengan kekuatan KDNK hampir 38 peratus iaitu satu per tiga KDNK dunia.
“Bagi tahun 2023 sahaja, hampir RM16 billion pelaburan yang telah diluluskan melibatkan BRICS dengan China sebagai peneraju hub utama destinasi pelaburan di Malaysia,” katanya.
Kata beliau, situasi itu menunjukkan Malaysia berpotensi untuk membangun dengan pertumbuhan ekonominya yang semakin mampan dan BRICS dilihat sebagai elemen yang melonjak kepada ekonomi Malaysia.










