KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) perlu membuat penjelasan mengenai pelaksanaan perkongsian kos atau pembayaran bersama untuk produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) mulai 1 September ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia penting agar perkara itu tidak menimbulkan kejutan kepada orang ramai dan tidak lagi melanggan insurans.
Ini kerana katanya, beliau khuatir terhadap kesannya yang menyebabkan semua orang berpusu-pusu beratur di fasiliti kesihatan awam.
“Saya minta BNM membuat satu penjelasan dan pencerahan yang baik.
“Kami sentiasa mahu memberikan sokongan andai ia tidak membebankan rakyat dan fasiliti kesihatan kerana jika ramai tidak berinsurans maka mereka akan beratur di fasiliti kesihatan,” katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai kajian impak dijalankan terhadap pelaksanaan MHIT terhadap syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) mulai 1 September 2024.
Pada 1 Julai lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, BNM mewajibkan ITO yang menawarkan produk MHIT baharu untuk memperkenalkan ciri-ciri perkongsian kos dalam produk MHIT.
Ia antara langkah bagi menangani kenaikan premium insurans atau sumbangan takaful bagi produk MHIT secara mendadak, mendorong penggunaan perkhidmatan kesihatan lebih bertanggungjawab dan seterusnya merendahkan kos perlu dibiayai bersama oleh ‘pool’ (berdasarkan konsep pengumpulan risiko). –UTUSAN










