PETALING JAYA: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media melancarkan Program Latihan Komunikasi Kepimpinan Tanpa Sempadan yang juga dikenali sebagai Blossom bagi membentuk kepimpinan secara inklusif.
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam, Mohd. Nazri Ibrahim berkata, program tersebut bertujuan memperkasa kemahiran komunikasi kepimpinan dalam kalangan pelajar dengan menekankan penyertaan yang inklusif dalam masyarakat global.
Katanya, ia melibatkan 76 pelajar dari Jabatan Pengurusan Komunikasi dan Polisi (MC248) semester satu hingga empat.
“Secara khususnya, 46 pelajar dari semester satu hingga tiga manakala 30 pelajar dari semester empat menguruskan program ini sebagai sebahagian daripada keperluan kursus CMP542 (Leadership Communication) mereka.
“Pada masa sama, program ini dapat membantu pelajar memenuhi keperluan penting dalam komunikasi kepimpinan di dunia global hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohd. Nazri berkata, program tersebut turut menawarkan latihan menyeluruh melalui modul yang dirancang dengan teliti.
Menurutnya, ini kerana komunikasi efektif memainkan peranan penting dalam mencapai kejayaan kepimpinan terutama dalam konteks persekitaran yang pelbagai budaya.
“Setiap modul mempunyai matlamat pembelajaran, hasil dan metrik untuk diukur bagi memastikan pelajar memperoleh pengalaman pembelajaran yang berkualiti tinggi.
“Latihan tersebut akan menggabungkan perbincangan interaktif, latihan peranan praktikal dan sesi maklum balas yang akan meningkatkan pengalaman pembelajaran secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program Blossom, Alyssa Nurbaya Radzuan berkata, inisiatif tersebut mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar UiTM terhadap kepentingan komunikasi kepemimpinan.
Selain itu, katanya, ia juga berpotensi untuk mewujudkan generasi pemimpin baharu yang mahir dalam menangani masalah komunikasi global.
“Pemahaman kukuh tentang perbezaan budaya dan teknik komunikasi berkesan membolehkan peserta bersedia untuk memimpin dunia yang pelbagai budaya,” jelasnya. – UTUSAN










