PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan parti itu tidak pernah memecat tujuh wakil rakyatnya yang berpaling tadah kepada Kerajaan Perpaduan seperti mana didakwa.
Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, keahlian enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan terhenti dengan sendiri.
“Bersatu tidak memecat katak-katak ini seperti yang didakwa puak Pakatan Harapan (PH) sebaliknya keahlian tujuh orang katak ini ‘terhenti dengan sendiri’ kerana mereka telah melanggar perlembagaan parti yang telah dipinda.
“Semua wakil rakyat Bersatu patuh dan akur dengan arahan parti, hanya tujuh pengkhianat katak ini yang tidak akur dan ini jelas melanggar Perkara 49A selepas parti sahkan keahlian mereka terhenti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Wan Ahmad Fayhsal berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil yang berkata, pemimpin Bersatu sepatutnya mengambil tanggungjawab apabila enam ahli Parlimen parti itu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih kekal sebagai wakil rakyat.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, ini disebabkan mereka yang menentang pindaan menyeluruh Rang UndangUndang (RUU) Akta Lompat Parti 2022 sebelum ini.
Beliau menyifatkan apa yang sedang dihadapi oleh Bersatu ketika ini berhubung isu kedudukan enam bekas ahli Parlimennya yang berpaling tadah sebagai senjata makan tuan.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, PH merupakan punca demokrasi berparlimen negara rosak dan harus ditolak oleh rakyat.
Katanya, PH yang membuat onar dan khianat kepada prinsip mereka tetapi menyalahi pihak lain.
“Puak PH ini tidak jujur dengan diri mereka apatah lagi kepada rakyat. Rakyat harus buka mata yang main kotor kini adalah mereka demi kekalkan dua pertiga sokongan dalam Dewan Rakyat dan mereka takut dengan gelombang rakyat jikalau tujuh pilihan raya kecil ini berlaku.
“Urusan pindaan perlembagaan parti Bersatu untuk menghukum pengkhianat kata dibuat dengan teratur dan diluluskan oleh Pendaftar Persatuan (ROS), selari dan selaras dengan peruntukan 49A dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN










