Berniat jahat, zalim, tidak berperikemanusiaan - Hakim - Utusan Malaysia

Berniat jahat, zalim, tidak berperikemanusiaan – Hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan berpendirian, keenam-enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berniat jahat, zalim dan tidak berperikemanusian kerana sanggup membunuh rakan sepengajian, Zulfarhan Osman Zulkarnain yang dipukul dan didera menggunakan seterika wap panas, tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail berkata, mereka bukan sahaja tidak peduli, malah ‘menutup mata dan telinga’ melihat Pegawai Kadet Laut itu menjerit dan menggelupur kesakitan setelah tubuh serta kemaluannya ditekap dengan seterika wap.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.  Kesemuanya kini berusia 28 tahun.

Menurut beliau, selepas diseksa, keenam-enamnya bertindak menyembunyikan Zulfarhan dan cuba merawat sendiri kecederaan yang dialaminya bagi mengelakkan perbuatan jenayah itu dikesan oleh pihak atasan.

Oleh demikian, Hakim Hadhariah berpendapat hanya satu hukuman yang wajar dijatuhkan terhadap keenam-enam lelaki tersebut iaitu gantung sampai mati manakala hukuman penjara 18 tahun diketepikan.

“Kami bersetuju dengan pendakwaan bahawa cara jenayah bunuh dilakukan bukan sahaja mengejutkan minda kehakiman malah kepada masyarakat secara keseluruhan. 

“Kes sebegini paling jarang ditemui daripada kes-kes yang pernah berlaku (rarest of the rare) yang melibatkan jenayah kekejaman yang amat merbahaya kepada masyarakat. Perbuatan zalim sebegini harus dihentikan.

“Ibu bapa mana yang tidak merasa kecewa, marah, sedih dan menangisi pemergian anak kesayangan mereka apabila jenazah dikembalikan ke pangkuan untuk dikebumikan di dalam keadaan memilukan,”’ ujar beliau.

Hakim Hadhariah membacakan alasan penghakiman setebal 93 muka surat dalam rayuan keenam-enam bekas penuntut UPNM itu terhadap sabitan dan hukuman penjara 18 tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau yang  bersidang bersama-sama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan rayuan silang pendakwa raya untuk mengembalikan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.  

Panel itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang meminda pertuduhan daripada Seksyen 302 kepada Seksyen 304(a) kerana menyebabkan kematian Zulfarhan.

Kesalahan membunuh Zulfarhan dilakukan di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Panel itu juga membenarkan rayuan silang pendakwa raya dengan menambah hukuman penjara daripada tiga tahun kepada empat tahun terhadap 12 bekas penuntut UPNM kerana mencederakan Zulfarhan.

Kesemua 12 mereka ialah Mohd. Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd. Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhamad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Perbuatan mencederakan Zulfarhan dilakukan di dalam sebuah bilik blok penginapan Asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara pukul 2.30 pagi dan pukul 5.30 pagi 21 Mei 2017 manakala mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN