Belum putus Pas atau Bersatu di Nenggiri - Sanusi - Utusan Malaysia

Belum putus Pas atau Bersatu di Nenggiri – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon yang mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, hujung bulan ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, setakat ini gabungan itu menyenarai pendek tiga nama calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon, 3 Ogos ini.

“PN tidak buat keputusan lagi sama ada daripada Bersatu atau Pas. Saya tak ada masalah kalau Bersatu, Bersatu lah… kalau Pas, Pas lah selagi atas nama PN.

“Ada kenyataan daripada Pemuda Pas Nenggiri minta calon Pas tapi kita faham kerusi itu dulu milik Bersatu, Bersatulah bertanding. Saya tak rasa berubah tetapi PN akan buat keputusan tentang hal calon itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Ogos ini sebagai hari pengundian susulan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi itu kosong apabila Mohd. Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi menafikan dakwaan berlaku pertemuan secara rasmi antara Pas dan UMNO bagi membentuk kerjasama dalam pilihan raya akan datang.

“Adakah pertemuan itu? Macam-macam dakwaan. Mula-mula Fahmi Fadzil kata Pas bertemu Pakatan Harapan (PH) padahal benda itu tak ada pun. Itu berita palsu jangan kongsi.

“Pertemuan dengan parti-parti ni biasalah kalau ahli-ahli Parlimen jumpa hari-hari di Parlimen. Saya rasa itulah punca kepada cerita ini, jumpa di Parlimen sahaja, tak adalah secara rasmi.

“Saya hadir mesyuarat Pas, tetapi tak ada laporan tentang pertemuan. Tidak dilaporkan dan tidak dimaklumkan. Saya ini Pengarah Pilihan Raya kalau ada pertemuan saya akan dimaklumkan. Tak adalah, jumpa tak rasmi saya pun ada berjumpa pemimpin UMNO,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari bahawa wujud perbincangan antara Pas dan UMNO bagi membincangkan kerjasama pilihan raya akan datang, namun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan kenyataan itu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN