Bekas isteri Harith Iskander mohon tak ungkit punca cerai

Bekas isteri Harith Iskander mohon tak ungkit punca cerai

HARITH Iskander dan isterinya, Dr. Jazemin Lim akhirnya terlerai apabila mereka bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/M Firdaus M Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Mohon tidak timbulkan perkara itu (punca per­ceraian). Dia pun sudah me­ngaku ada membuat silap, kita patut hormati perkara itu.”

Demikian respons bekas isteri pelakon dan pelawak Harith Iskander, Dr. Jezamine Lim, 41, mengenai punca perceraian me­reka.

Enggan terus diasak dengan pertanyaan mengenai perkara itu, Jezamine berharap semua pihak melihat pengakhiran per­kahwinannya dengan Harith sebagai satu perkara yang positif.

“Bukan mudah untuk seseorang itu mengaku kesilapan secara terbuka.

“Apa pun puncanya (bercerai), bukanlah menjadi masalah dan tidak penting untuk dibahaskan.

“Yang penting kami sudah saling memaafkan, melupakan dan berjanji akan menjadi individu lebih baik secara bersama-sama,” katanya.

Harith melafazkan cerai talak satu pada bekas isterinya itu di Mahkamah Rendah Syarie, di sini semalam.

Peguam Syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Dr. Jezamine memberitahu Harith melafazkan cerai di hadapan Ha­kim Syarie Siti Noraini Mohd Ali pada pukul 12.05 tengah hari selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai wanita itu.

Akberdin berkata, permohonan perceraian secara baik itu difailkan Dr. Jezamine pada 24 Jun lalu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan Seksyen 73 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Terdahulu, semasa prosiding, Akberdin memohon prosiding dijalankan secara tertutup de­ngan alasan anak guamnya dan defendan tidak mahu prosiding itu dilakukan dengan kehadiran orang awam.

“Pasangan ini kedua-duanya merupakan ‘public figure’ oleh itu, mohon prosiding dijalankan secara tertutup,” kata peguam itu.

Pasangan tersebut dilihat bersama-sama hadir ke mahkamah pada pukul 11.50 pagi.

Sementara itu, ketika ditemui selepas prosiding, Akberdin berkata, alasan penceraian itu difailkan atas alasan Harith dan Dr. Jezamine tiada lagi persefahaman.

Selain itu, isu berhubung hak penjagaan anak atau Hadhanah akan didengar pada 31 Julai di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini.

Sementara itu, Harith ketika ditemui selepas prosiding memaklumkan kedua pihak telah sepakat untuk bercerai demi kebaikan diri sendiri dan anak-anak mereka.

“Sebenarnya kami sudah la­ma berusaha (menyelamatkan per­kahwinan). Setiap keputusan dibuat bersama. Pada satu tahap kami merasakan, langkah seterus­nya (perceraian) adalah yang terbaik.

“Perkahwinan kami sudah sampai ke tahap ini, tetapi kami masih berkawan demi kebaikan anak-anak.

“Tentunya saya sedih. Tetapi kami bersetuju perceraian ini membolehkan kami teruskan kehidupan dan membawa kebaikan bukan untuk diri kami sahaja, malah untuk anak-anak,” ­katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN