PETALING JAYA: Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mewakili badan kehakiman Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah yang meninggal dunia, malam semalam.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkanMohamed Dzaiddin merupakan Ketua Hakim Negara dari 20 Disember 2000 hingga 15 Mac 2003 telah banyak berjasa kepada badan kehakiman negara sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Kepulangan Allahyarham ke rahmatullah merupakan satu kehilangan besar yang amat dirasai oleh seluruh warga kehakiman khususnya dan negara amnya,” menurut kenyataan itu.
Mohamed Dzaiddin meninggal dunia pada usia 86 tahun di Hospital Prince Court, malam semalam.
Dalam pada itu, kepada keluarga dan kenalan yang ingin menziarahi buat kali terakhir boleh hadir pada malam ini selepas 10 malam di kediaman rasmi Allahyarham di 72, Jalan Athinahapan 1, Taman Tun Dr. Ismail, 60000 Kuala Lumpur. – UTUSAN










