ALOR SETAR: Gesaan bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik agar Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu meletak jawatan dalam isu logo minuman keras disifatkan tidak berasas dan tidak mencerminkan realiti sebenar.
Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Kedah, Siti Balkhis Husain berkata, isu yang dibangkitkan adalah berdasarkan kekeliruan yang tidak disengajakan dan tidak mencerminkan keseluruhan sumbangan beliau terhadap masyarakat dan negara.
Menurutnya, Ahli Parlimen Sepang itu telah menjalankan tanggungjawab beliau dengan penuh berdedikasi dan integriti.
“Dalam insiden memegang replika cek berlogo Tiger itu, ia adalah satu kekhilafan yang telah dijelaskan dan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mendesak beliau meletak jawatan.
“Tuduhan beliau terlibat mempromosikan arak di sekolah juga adalah tidak bertanggungjawab. Kami menolak sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menegaskan sistem pendidikan kita tidak membenarkan sebarang bentuk promosi yang bertentangan dengan nilai moral dan etika.
“Kami menghargai pandangan dan kritikan yang membina, namun adalah penting untuk memastikan fakta yang tepat dan adil sebelum membuat sebarang kenyataan,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, Maszlee yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR menyifatkan penglibatan Aiman Athirah dalam acara mempromosikan syarikat arak di dalam acara sekolah adalah insiden memalukan dan menjatuhkan imej parti Amanah dan rakyat di Parlimen Sepang.
Justeru, bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu mencadangkan agar Aiman Athirah meletakkan jawatan selaku Ahli Parlimen Sepang dan Ketua AWAN Nasional agar menjadi amaran kepada wakil rakyat parti itu supaya lebih teliti, berhati-hati dan menjunjung prinsip rahmah sebenar.
Sementara itu, Siti Balkhis berkata, AWAN Negeri Kedah berdiri teguh bersama Aiman Athirah dan akan terus menyokong beliau dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan.
“Beliau telah banyak berjasa dalam memperjuang hak-hak wanita dan memperkukuh perpaduan masyarakat. Beliau sentiasa berusaha untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Kami percaya bahawa kritikan perlu dilontarkan secara konstruktif dan berlandaskan fakta yang tepat, bukan berdasarkan tuduhan yang tidak berasas. Tindakan tergesa-gesa hanya akan merosakkan imej dan kredibiliti seseorang tanpa justifikasi yang kukuh. Sebagai pemimpin, kita perlu bersatu padu dalam menghadapi cabaran dan bukannya menjatuhkan satu sama lain,” ujarnya. -UTUSAN










