KOTA KINABALU: ‘Kami tidak mahu Filipina terus membuat kacau. Apa lagi Filipina mahu tuntut sedangkan mereka tiada asas untuk menuntut Sabah’
Demikian pendirian yang dinyatakan oleh Pengasas Persatuan Kebajikan Bajau Suluk Sabah (PKBSS), Manan Orat.
Beliau berkata, masyarakat Suluk yang bernaung di bawah persatuan itu menolak sepenuhnya sebarang tuntutan yang dibuat waris Kesultanan Sulu, Filipina terhadap Sabah.
“Kita memang harus bertegas dalam isu sebegini sebab Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat jadi, tidak seharusnya ada mana-mana negara lain yang cuba mengganggu gugat kedaulatan negara kita.
“Apa sebenarnya rasional Filipina buat tuntutan sebegitu? Kenapa mesti mereka membuat kacau sebegini.
“Suara kita mewakili 25,000 ahli persatuan di seluruh Sabah dan sekiranya ada segelintir masyarakat Bajau Suluk tidak menolak tuntutan sebegini, itu hanya suara minoriti.
“Sepatutnya isu tuntutan ini sudah lama selesai. Apa lagi Filipina mahu tuntut sedangkan mereka tiada asas untuk menuntut Sabah. Sudah-sudahlah buat kacau,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), Datuk Ruslan Muharam berkata, sebagai orang tempatan Sabah yang dipanggil momogun memang wajar untuk masyarakat Sabah menolak tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah.
“Jika dilihat di mahkamah antarabangsa juga telah menolak tuntutan dibuat Filipina. Disebabkan kekalahan yang dialami, mereka cuba mencari ruang untuk melawan balik.
“Kita lihat memang mereka cuba mencari bukti-bukti untuk membolehkan mereka terus membuat tuntutan terhadap Sabah tetapi, saya yakin tuntutan yang tidak berasas sebegitu tidak akan dilayan,” katanya.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, persatuan itu memang menyokong usaha kerajaan menghantar nota diplomatik kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menegaskan kedaulatan negara ini, susulan tuntutan Filipina terhadap Sabah.
Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu berkata, sekiranya diteliti data-data yang dikemukakan Filipina, memang mereka susah untuk membuat tuntutan sepertimana yang mereka inginkan.
“Persatuan Bisaya memang menyokong supaya Malaysia tidak melayan tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh Filipina. Apabila Malaysia menang dalam perbicaraan di mahkamah antarabangsa, mereka (Filipina) cuba main sentimen berkenaan dalam kalangan masyarakat Suluk di Sabah,” katanya.
Justeru itu, pemimpin-pemimpin Sabah menggesa agar isu tuntutan Filipina terhadap Sabah dijadikan agenda pertama dalam sidang Kemuncak ASEAN pada tahun depan.
Pada Ahad lalu, Menteri Luar mengesahkan Malaysia sudah menyerahkan nota diplomatik kepada PBB bagi menegaskan kedaulatan negara ini, susulan tuntutan Filipina terhadap Sabah. – UTUSAN










