Anggota tentera hilang 19 hari ditemukan selamat

Anggota tentera hilang 19 hari ditemukan selamat

TANGKAP layar video tular yang memaparkan Muhammad Syafiq Hilmi Abd. Halim ditemukan selamat setelah hilang ketika bertugas dalam Op Ukur sempadan di Limbang, Sarawak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keupayaan seorang Anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) menjejaki tanda-tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), berjaya menyelamatkannya selepas 19 hari dilaporkan hilang.

Anggota terlibat dilaporkan hilang ketika menyertai Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pe­metaan (JUPEM) di sempadan Malaysia-Brunei dekat Limbang, Sarawak pada 18 Jun lalu.

Tanda-tanda panduan laluan rintis pencarian itu dibuat oleh pasukan SAR Tentera Darat Malaysia (TDM) sebelum ditemukan oleh Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd. Halim.

Muhammad Syafiq kemudian menjejaki tanda-tanda itu di sekitar lokasi pencarian sehingga beliau berjaya menemukan lokasi Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) Tim A.

TDM dalam kenyataan memaklumkan, Muhammad Syafiq ditemukan dalam keadaan lengkap bersenjata namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi.

“Beliau kemudian diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi untuk pemeriksaan lanjut.

“Keluarga Muhammad Syafiq telah dihubungi oleh TDM menerusi panggilan telefon dan akan diterbangkan ke Sarawak. Semua perbelanjaan perjalanan ditanggung sepenuhnya oleh TDM,” katanya.

Menurut TDM, ketiadaan anggota itu di posisi belakang pasukan Op Ukur disedari oleh ketua pasukan kira-kira pukul 12 tengah hari pada 17 Jun lalu.

“Kejadian berlaku pada kedudukan di jarak dua kilometer di atas permatang sempadan Malaysia-Brunei dari tanda sempadan E500 menghala ke arah E600,” katanya.

Op Ukur adalah operasi dilaksanakan di bawah kawalan Markas 31 Briged Sempadan, yang membabitkan penempatan anggota TDM sebagai pengiring keselamatan kepada pasukan JUPEM yang sedang melaksanakan penandaan dan pengukuran sempadan Malaysia-Brunei di kawasan pengukuran Ulu Tutong (E500) ke Bebuloh (E600), Limbang bermula 11 Jun hingga 2 September ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×