MESKIPUN baru berusia 20 tahun, penyanyi muda yang ingin dikenali dengan nama pentas Andyoso ini bertuah kerana gerak langkahnya dalam bidang seni sudah berupaya meraih perhatian peminat dari tanah seberang, Indonesia.
Menerusi single terbaharu berjudul Pendamping Hidupku, Andyoso atau nama sebenarnya, Andika Zulkefli, meluahkan rasa terharu kerana perjalanannya mengukir nama sebagai penyanyi membuahkan hasil meskipun masih berstatus pendatang baharu.
Percaya pada bakat dan peluang yang diberikan oleh penggiat seni muzik, Andyoso gembira kerana single kedua tersebut turut mendapat sentuhan komposer Indonesia iaitu Shoga Tan dan Ujang K.
Mengakui terkejut kerana sambutan terhadap lagu itu begitu luar biasa daripada peminat di sini termasuk di Indonesia, Andyoso bagaimanapun mengakui ada rasa takut apabila berbicara soal populariti.
“Tentulah saya gembira kerana karya muzik saya dapat diterima ramai apatah lagi apabila mengetahui saya juga ada peminat yang ramai dari Indonesia.
“Kebetulan lagu itu juga mendapat sentuhan komposer dari sana, jadi mungkin itu menjadi antara penyebab mengapa ia mudah menjadi halwa telinga mereka di sana.
“Bagaimanapun, apabila sudah menjadi perhatian atau orang kata popular ini, terus terang, ada rasa takut. Sebab, saya tidak pernah terdedah dengan populariti sebelum ini dan perkara itu sebenarnya menyuntik rasa bimbang juga.
“Bukan apa, macam orang kata, populariti ini ada baik buruknya. Kalau berupaya bawa dengan cara baik, maka ia akan menjadi sesuatu yang positif. Kalau sebaliknya, kemahsyuran itu boleh menjadikan seseorang hanyut jika gagal melawan nafsu dan tidak pandai membawa diri,” katanya.
Tambah penyanyi yang juga mempunyai darah dari tanah seberang ini, disebabkan itu, dia cuba mengehadkan keterujaan apabila dihimpit dengan aura glamor dan populariti kerana enggan lalai dengan dunia seni.
Pada masa sama, penuntut Universiti Teknologi Mara, Rembau, Negeri Sembilan ini percaya, pelajaran harus menjadi keutamaan semua individu meskipun sibuk mengejar dunia kerjaya.
“Bagi saya, kalau mahu kejar populariti sangat pun seakan tidak mengena. Sebab itu, saya letakkan muzik ini di tangga kedua. Nombor satu tetap pelajaran. Ini juga apa yang dipesan oleh ibu dan ayah.
“Mereka pesan supaya saya tetap habiskan pengajian di menara gading walaupun mengejar minat dalam dunia muzik. Keluarga saya tiada seorang pun yang mempunyai latar belakang dalam bidang seni kecuali saya.
“Jadi, besar hasrat mereka untuk melihat saya tetap berilmu meskipun hendak jadi artis. Ibu ayah juga pesan saya kena ikut cakap label dan pengurusan jika mahu berjaya,” katanya.”
Sementara itu, ditanya mengenai pengalaman merakamkan lagu di Indonesia, kata Andyoso, dia gembira kerana ia satu momen yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila.
“Seronok merakamkan lagu ini di sana. Banyak pengalaman baharu yang saya raih dan InsyaAllah, mana tahu ada rezeki, saya akan rakam lagi di sana.
“Sebelum ini, saya mempertaruhkan single bergenre pop menerusi lagu Setiaku 100 Peratus, tapi kali ini agak berbeza dan saya teruja untuk membawakannya.
“Bagi memastikan komitmen yang jitu, saya juga ada mengambil kelas vokal. Saya mahu hasilkan lagu ini dengan sempurna,” ceritanya. Dalam pada itu, dia juga gembira dengan penerimaan positif muzik video lagu Pandamping Hidupku yang kini meraih lebih 140,000 tontonan di YouTube dalam tempoh sebulan dilancarkan.
Tidak cuma itu, ditanya mengenai sejauh mana dia mensasarkan hasrat untuk serius dalam bidang seni, Andyoso mengakui masih terlalu jauh langkah kakinya untuk mengukir nama dengan lebih cemerlang.
Mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki, dia yang mengidolakan Hafiz Suip dan Ariel Noah ini bagaimanapun enggan lekas berputus asa dan mahu meraih seberapa banyak ilmu dengan senior-senior lain.










