KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dihukum penjara enam tahun kerana memukul ibu kandungnya sehingga cedera, awal bulan ini.
Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli membuat hukuman itu selepas Mohd. Fadzri Idzuan Mustapha, 37, mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyebabkan kecederaan kepada ibu kandungnya, Siti Rafiah Ismail, 70, dengan menggunakan sebatang penyapu.
Mohd. Fadzri Idzuan didakwa melakukan perbuatan itu di Kampung Tanggol, Kuala Berang dalam daerah Hulu Terengganu, kira-kira pukul 7 malam, 6 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 324 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, Mohd. Fadzri Idzuan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana mana dua daripada hukuman itu.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman enam tahun terhadap tertuduh bermula tarikh tangkapan iaitu pada 7 Julai 2024. – UTUSAN










