Amaran Akmal bukan bumiputera ke UiTM tidak lagi relevan

Amaran Akmal bukan bumiputera ke UiTM tidak lagi relevan

umno
AZIZ BARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tindakan Pemuda UMNO memberi amaran kepada semua pihak termasuk ahli politik atau akademik supaya tidak lagi mengemukakan cadangan ‘dangkal’ mengenai kemasukan penuntut bukan bumiputera ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) disifatkan sebagai tidak relevan.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, ini kerana isu itu tidak lagi diulas oleh sesiapa pun.

Katanya, lebih baik Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhammad Akmal Saleh bimbang mengenai isu lain yang lebih mendesak terutama masalah ramai pelajar yang gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Hakikatnya kebanyakan kolej termasuk yang diurus oleh bumiputera, bekerja keras untuk menarik masuk pelajar. Jadi apa relevannya amaran Dr. Muhammad Akmal itu?,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut kemasukan penuntut bukan bumiputera ke UiTM, Abdul Aziz yang juga ADUN Tebing Tinggi berkata, semua orang sudah faham kandungan dan falsafah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kedudukan istimewa Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

Menurut bekas pensyarah itu, tetapi ia tidak menafikan kepentingan sah komuniti lain.

Katanya, sehubungan itu Muhammad Akmal perlu melihat senario asal bagaimana Perkara 153 itu muncul.

“Ini termasuk sejarah di mana ketika itu orang Melayu bimbang kedudukan mereka yang selain mundur juga dalam keadaan minoriti, tidak seperti sekarang di mana mereka sudah berada pada tahap lebih dari 60 peratus dari jumlah keseluruhan penduduk.

“Perlembagaan Malaysia, sebagaimana perlembagaan dunia yang lain, adalah bertunjangkan kesaksamaan, kedudukan istimewa adalah suatu pengecualian yang tidak harus dibaca secara ekstrem dan rasis.

“Muhammad Akmal sepatutnya risau dengan masalah 280,000 pelajar yang gagal dalam SPM sebagaimana yang dibangkitkan oleh Pengerusi Mara baru-baru ini, itu lebih mendesak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN