KUALA LUMPUR: Penyanyi, Alyah dirawat di sebuah hospital di Subang Jaya ekoran batuk berpanjangan yang dialaminya selepas pulang daripada mengerjakan ibadah haji.
Penyanyi berusia 43 tahun itu yang pada semalam berkongsi perkara tersebut menerusi Instastory memaklumkan terpaksa pulang ke tanah air lebih awal ekoran masalah tersebut.
“Saya ambil keputusan balik ke Malaysia pada 4 Julai, yang mana sepatutnya saya pulang pada 17 Julai.
“Batuk saya tidak hilang hampir dua minggu dan setiap kali batuk, rusuk kiri saya macam mencucuk.
“Sepanjang penerbangan pulang doktor membekalkan ubat tahan sakit dan saya terus mendapatkan rawatan sejurus pulang ke tanah air,” katanya.
Alyah dalam pada itu memohon kepada orang ramai agar mendoakan kesihatannya.
Penyanyi itu turut meminta maaf kerana tidak dapat menjawab panggilan telefon buat ketika ini.
“Mohon doakan saya, harap pagi ini (semalam) keputusan sinar – X dan darah saya tidak ada apa-apa,” katanya.










