Al Hijrah rai ulang tahun bersama golongan tidak bernasib baik - Utusan Malaysia

Al Hijrah rai ulang tahun bersama golongan tidak bernasib baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Membawa kelainan daripada kebiasaan, stesen TV Alhijrah menyambut ulang tahunnya ke-14 dengan memberikan sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik menerusi program Hijrah Prihatin Kisah Mereka.

Ketua Unit Integrasi Media dan Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah, Saifulizan Sidek berkata, pihaknya cuba lari daripada kebiasaan dan cuba untuk membawa kelainan menerusi program di luar skrin televisyen.

“Jika kita buat di televisyen, tiada sentuhan langsung dengan penonton. Jadi hari ini, kita turun ke lapangan dan bawakan penonton-penonton TV Alhijrah yang kurang bernasib baik untuk menerima sumbangan.

“Program ini juga merupakan salah satu aktiviti bagi Hijrah Prihatin Kisah Mereka yang sememangnya menjadi aktiviti signifikan buat kami.

“Lima wakil pertubuhan telah dipilih untuk menjadi penerima sumbangan iaitu Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaaan Malaysia, PPR Desa Tun Razak, Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Al-Mahabbah, Pusat Jagaan Al-Fattah dan Kelab Kakitangan Metro (Kelab Met).

“Dijangkakan hampir 100 orang akan menerima manfaat daripada sumbangan barangan keperluan harian pada hari ini,” katanya pada sidang media bersempena ulang tahun TV Al Hijrah ke-14, semalam.

Dalam pada itu, Saifulizan berkata, program yang telah bermula sejak 2016 itu telah menyantuni lebih 40,000 orang yang kurang bernasib baik di seluruh negara.

“Pelaksanaan program ini melibatkan kerjasama antara agensi agama yang lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sumbangan yang diperoleh melalui wakalah syarikat karporat.

“Kita nak bagi semua untuk merasai bantuan yang diberi. Jadi ada sesetengah kes kami akan memberi bantuan secara berkala dan ada yang one-off,” katanya.

Selain itu, bercakap mengenai program khas sempena ulang tahun, stesen itu tidak ada program atau slot khas sempena ulang tahunnya.

“Kami tidak ada program atau slot khas sempena ulang tahun ini tetapi kami memberi nafas baharu kepada rancangan-rancangan yang mendapat permintaan yang tinggi daripada penonton.

“Kami juga akan meningkatkan mutu program dan mengembalikan juga program yang dilihat berpotensi untuk disiarkan.

“Antara program yang telah kami berikan nafas baru adalah seperti 30 minit bersama Datuk Ustaz Shamsuri Ahmad yang dahulunya dikendalikan Ustaz Don,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN