Akta antilompat parti hanya sia-sia - Akmal

Akta antilompat parti hanya sia-sia – Akmal

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akta antilompat parti yang diluluskan di Parlimen ternyata menjadi sia-sia apabila tidak mampu melarang wakil rakyat yang berpaling tadah mengosongkan kerusi.

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, semua pihak tidak boleh menyalahkan masyarakat jika mereka benci dengan orang politik yang secara dasarnya menganggap kestabilan politik hanya untuk kepentingan diri.

“Maka sia-sialah akta antilompat parti yang diminta oleh rakyat selama ini. Kestabilan politik hanya untuk kepentingan diri.

“Jangan marah jika rakyat benci pada orang politik,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Johari Abdul yang tidak mengosongkan kerusi enam bekas ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong kerajaan.

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Speaker Dewan Rakyat membuat keputusan itu pada Selasa lalu.

Johari memutuskan tidak berlaku kekosongan kerusi disandang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar, Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Menerusi surat pemberitahuan, Johari memaklumkan tiada kekosongan kerusi berdasarkan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang dibuat untuk memastikan kestabilan politik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN