KUALA LUMPUR: Naskhah pecah panggung, Sheriff: Narko Integriti mungkin bakal hadir dengan filem kedua pada masa akan datang.
Perkara itu didedahkan pelakonnya, Zul Ariffin yang memaklumkan ada mendengar mengenai perancangan untuk menghasilkan bagi filem berkenaan.
“Saya dengar mereka (penerbit) ada membincangkan tentang perkara ini. Dengarnya sedang bersedia ke arah penghasilan skrip untuk bahagian kedua.
“Tapi bergantung kepada pihak berkenaan untuk tetapkan tarikh bagi memulakan penggambaran.
“Perkara ini tak mustahil. Cerita yang ada sambutan, ditambah lagi dengan jumlah kutipan yang menggalakkan, Insya-Allah. Tentu sekali ada bahagian kedua,” katanya ketika ditemui pada sesi forum sempena Festival Filem Antarabangsa Malaysia, baru-baru ini.
Filem arahan Syafiq Yusof itu mencipta kejayaan dengan jumlah kutipan memberangsangkan setakat ini iaitu sekitar lebih RM64 juta.
Dalam pada itu, Zul memaklumkan pujian atas pencapaian Sheriff: Narko Integriti harus diberikan kepada Syafiq yang menjadi peneraju dan pencetus idea bagi filem berkenaan.
“Tahniah kepada Syafiq. Kejayaan harus juga dikreditkan kepada dia. Orang-orang muda seperti inilah masa depan filem kita.
“Harapnya ramai pelajar filem yang mencontohi dia,” kongsinya.











