KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan Tinggi mengumumkan pelantikan Prof. Dr. Ahmad Hata
Rasit, sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 8 Januari 2024 hingga 7 Januari 2027.
Ahmad Hata,54, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan dan Ijazah Doktor Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1991 dan 1994 sebelum melanjutkan pengajian
ke peringkat Ijazah Sarjana Surgeri (Ortopedik) dari universiti yang sama
pada tahun 2001.
Beliau memiliki pengalaman luas dalam pentadbiran organisasi di peringkat universiti.
Beliau merupakan penyandang Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UNIMAS dari tahun 2019 dan pernah menjawat jawatan sebagai Dekan Fakulti Perubatan dan Sains
Kesihatan, UNIMAS selama tujuh (7) tahun dari tahun 2012.
Pelantikan beliau dilihat mampu meneruskan agenda merakyatkan universiti dan menyumbang kepada pembangunan anak negeri Sarawak melalui kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Kementerian juga yakin pelantikan Ahmad Hata mampu memacu kecemerlangan UNIMAS sebagai sebuah universiti komprehensif yang berteraskan kepada tiga bidang tujahan iaitu pemuliharaan biodiversiti dan alam sekitar, teknologi maklumat, komunikasi dan kreatif serta kelestarian transformasi komuniti.
Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Prof. Dr. Mohamad Kadim bin Suaidi atas jasa bakti beliau sepanjang menerajui UNIMAS sebelum ini. –UTUSAN










