PETALING JAYA: Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli diumumkan sebagai Ketua Pengarah baharu berkuat kuasa hari ini.
JPJ dalam satu kenyataan memaklumkan, Aedy Fadly berkelulusan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan Bandar), Universiti Teknologi Berlin, Jerman.
Jelasnya, beliau berpengalaman dalam perancangan strategik dasar, isu dan sistem berkaitan pengangkutan jalan serta perancangan operasi JPJ.
“Beliau juga pernah memegang jawatan Setiausaha Bahagian Pembangunan di Kementerian Pengangkutan; Setiausaha Bahagian Perolehan dan Aset di Kementerian Pendidikan serta pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan pengalaman dan kepimpinannya, beliau mampu memacu kecemerlangan JPJ dalam menggalas amanah negara sebagai agensi utama yang mengawal selia hal ehwal pengangkutan jalan di negara ini. – UTUSAN











