SEOUL: Agensi bakat, ADOR, menafikan dakwaan kononnya artis mereka, NewJeans menciplak hasil karya sebuah band England tahun 80-an, Shakatak.
NewJeans berdepan dakwaan itu apabila terdapat pihak yang berpendapat lagu terbaharu mereka, Bubble Gum, mirip dengan lagu bertajuk Easier Said Than Before nyanyian Shakatak.
Bukan itu sahaja, menerusi sebuah kenyataan akhbar yang dimuat naik, ADOR mengesahkan sudah menerima surat tuntutan daripada band tersebut pada Rabu.
“Kami sudah menerima surat tuntutan daripada Shakatak. Pasukan undang-undang kami akan membalas surat berkenaan minggu hadapan.
“Kami menegaskan tidak menggunakan sebarang komposisi lagu daripada Shakatak untuk menghasilkan Bubble Gum.
“Kami juga meminta laporan analisis oleh pakar mengenai masalah ini,” tulis mereka.
Dalam pada itu, ADOR juga memaklumkan bahawa Shakatak memberikan kerjasama yang baik dan bersetuju memenuhi tuntutan yang dibuat agensi berkenaan.
“Beban pembuktian terletak di tangan mereka. Jadi, Shakatak perlu memberikan laporan untuk membuktikan berlaku plagiarisme dalam lagu tersebut,” jelas ADOR.
Terdahulu, band Shakatak mendakwa lagu Bubble Gum diciplak daripada lagu yang pernah dihasilkan mereka pada tahun 80-an.
Ini kerana terdapat persamaan dari aspek rima, melodi serta penggunaan gitar bass dan elektrik yang sama.
Syarikat Shakatak iaitu Wise Music Group telah mengirimkan surat tuntutan kepada ADOR, Hybe, dan Persatuan Hak Cipta Muzik Korea (Komca) untuk tindakan undang-undang.-UTUSAN