NIBONG TEBAL : Jentera Perpaduan di Pulau Pinang kini sedang berusaha keras untuk ‘memerangi’ satu kempen negatif yang cuba menghalang pengundi Cina daripada keluar mengundi para Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai ini.
Menerusi kempen tersebut, penganjur dikatakan cuba mempengaruhi pengundi untuk tidak keluar mengundi dengan memberitahu bahawa tidak ada bezanya sama ada mengundi PH atau Perikatan Nasional (PN) pada PRK tersebut.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Chow Kon Yeow berkata, ketika ini, beliau dan anggota jentera Perpaduan yang lain sedang cuba untuk mengubah persepsi negatif pengundi terutamanya kaum Cina untuk tidak terpengaruh dengan kempen negatif tersebut.
“Sebenarnya, kita perlukan sokongan semua pengundi di daerah mengundi untuk capai kemenangan kerana setiap undi itu adalah penting.
“Oleh itu, kita sasarkan mesej (untuk pengundi) keluar mengundi beramai-ramai. Sekiranya ini berlaku, barulah kita ada peluang (cerah) untuk menang,” kata beliau kepada pemberita semasa mengadakan program Ziarah Madani di Jalan Seberang Tasek, Simpang Ampat di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, jentera Perpaduan akan meningkatkan tempo pada minggu kedua kempen ini dengan meningkatkan kekerapan lawatan serta memperbanyakkan turun padang untuk bertemu pengundi.
“Kita harap momentum ini akan dapat dikekalkan dan semua pengundi akan keluar bagi memastikan kita boleh mencapai kemenangan dalam pilihan raya itu nanti (PRK DUN Sungai Bakap),” katanya.
Menyentuh mengenai penerimaan pengundi Cina terhadap calon PH iaitu Dr. Joohari Ariffin pula, Kon Yeow berkata, bekas guru dan pensyarah itu memiliki perwatakan dan pembawaan diri yang baik selain latar belakang pendidikannya yang tinggi.
“Tapi, dalam ucapan saya, saya memang selalu tekankan, selain daripada kelayakan (akademik), apakah parti (yang) dia (Joohari) wakili dan apa agenda yang dia bawa sebab di belakang beliau ada Kerajaan Perpaduan, Persekutuan dan negeri,” kata beliau.
Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa beliau enggan meletakkan sasaran yang tinggi pada PRK ini kerana tidak mahu jentera parti bersikap terlalu selesa.
Sebaliknya, beliau mahu mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi hati rakyat dengan kempen yang berbaki kira-kira lima atau enam hari lagi untuk dihabiskan.
“Kita masuk gelanggang politik ini (PRK) sebagai ‘underdog’ (bukan pilihan) kerana kita ketinggalan dengan lebih 1,500 (1,563) undi. Jadi, kalau minggu pertama kempen kita letak peluang 50-50, itu juga boleh dianggap sebagai satu pencapaian,” katanya.-UTUSAN










