KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) menghampiri pentas final Piala FA selepas menang 3-2 ke atas Selangor pada separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.
Persembahan TFC bagaimanapun kurang menjadi dalam setengah jam pertama membenarkan Selangor menguji kubu mereka menerusi voli Ronnie Fernandez seawal minit kelapan.
Skuad The Red Giants kemudian memiliki peluang terbaik minit ke-12 menerusi Alvin Fortes namun bola tolakannya dikeluarkan pertahanan TFC, Alif Zakaria di atas garisan gol.
Ketika rentak dilihat lebih memihak Selangor, tuan rumah memecahkan kebuntuan pada minit ke-30 melalui sepakan percuma ketua pasukannya, Safawi Rasid, untuk melegakan kem TFC.
Jaringan itu menyemarakkan semangat Sang Penyu yang melebarkan kelebihan hasil sepakan leret pemain tengah kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov pada minit ke-35.
Permainan makin rancak apabila Selangor merapatkan kedudukan 1-2 hasil tolakan mudah Fortes (m-39) yang bijak menyambar bola hantaran Mukhairi Ajmal Mahadi dari sebelah kiri.
Kedudukan berubah lagi tiga minit selepas rehat apabila pemain tengah Selangor, Noor Al-Rawabdeh menyudahkan gerakan sama kali ini umpanan Fernandez untuk mengimbangi permainan.
Dengan aksi kini terikat 2-2, TFC meningkatkan serangan selepas itu namun percubaan berturut-turut daripada Safawi (m-58) dan Tukhtasinov (m-61) gagal menemui sasaran.
Lebih 31,000 penyokong TFC akhirnya ceria setelah tandukan lambung Ismaheel Akinade pada minit ke-70 hasil hantaran Tukhtasinov berjaya menewaskan Sam Sommervile buat kali ketiga malam ini.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan menuju tamat namun tiada tambahan gol untuk pengadil, Mohd. Hasrol Mohd. Amir menamatkan aksi menghiburkan itu 3-2 memihak TFC. – UTUSAN










