KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah membuka dan melaksanakan siasatan melibatkan sebanyak 40,436 kertas siasatan tatatertib (KST) dan kertas enkuiri tatatertib (KET) dalam tempoh 10 tahun ini.
Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, seramai 15,546 pegawai kanan dan pegawai rendah polis telah dijatuhkan dengan pelbagai hukuman tatatertib.
Daripada jumlah itu, kata beliau, seramai 1,671 telah dijatuhkan hukuman buang kerja.
“Siasatan tatatertib yang telus dan tindakan punitif sebegini adalah antara pendekatan kepada kesungguhan Polis Diraja Ma;aysia (PDRM) mengawal salah laku warganya,” katanya dalam ucapan sempena Sambutan Satu Dekad Penubuhan JIPS di Bukit Aman di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Azri berkata, sumber manusia mencukupi diperlukan dalam menguruskan penerimaan aduan yang sedemikian banyak.
Jelas beliau, pengurusan aduan memerlukan ketelitian dan kepekaan yang tinggi bagi memastikan setiap aduan dapat diambil tindakan dan maklum balas pantas dapat diberikan.
“Dalam tempoh lima tahun pertama, JIPS telah diperkasakan dengan peruntukan yang mencapai lebih 1,800 perjawatan dan distrukturkan hingga peringkat kontinjen negeri di seluruh negara.
“Pada masa ini, JIPS diperuntukkan sebanyak 2,221 perjawatan, namun hakikatnya masih yang paling kecil berbanding sembilan jabatan lain dalam PDRM,” jelasnya.
Tambah beliau, usaha pengukuhan perjawatan akan diteruskan demi memastikan JIPS dapat melaksanakan peranan dan fungsinya dengan lebih mantap dan konsisten. – UTUSAN











