TAWAU: Seramai 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu (Op Bersepadu) yang dikordinasikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) hujung bulan lalu.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, pemeriksaan terhadap 684 individu mendapati 33 daripada mereka tidak memiliki pas atau dokumen pengenalan diri yang sah maka, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata, pemeriksaan turut dilakukan ke atas 143 jenis pengangkutan laut dan kenderaan darat dalam operasi yang dijalankan bermula pada 27 dan 28 Jun di pintu masuk utama negara sekitar kawasan Jeti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama.
Dalam operasi tersebut, dua individu ditahan bersama 5.53 gram dadah jenis syabu oleh polis dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk saringan ujian air kencing.
Sementara itu, Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut menahan seorang individu dan merampas 160 liter minyak diesel bersubsidi termasuk sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Dalam operasi yang sama, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan seorang individu dan merampas sebanyak 12 liter minuman keras tempatan di bawah Akta Kastam 1967.
“Kedua-dua nilai rampasan KPDN dan JKDM dianggaran berjumlah RM 11,165.50,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Victor berkata. dalam operasi yang sama, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Tawau Sabah turut menahan seorang individu kerana menyalahi syarat lesen di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS). Kes diserahkan kepada pihak JPDS untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN










