GEORGE TOWN : Sebanyak 32 unit gerai penjaja di Kompleks Penjaja Huma House di Batu Ferringhi di sini musnah dalam kebakaran, hari ini.
Bagaimanapun, tidak ada mangsa yang terlibat dalam kejadian kira-kira pukul 1.58 petang itu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, jentera Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dan Teluk Bahang bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu.
“Kebakaran melibatkan 32 unit gerai penjaja berkeluasan 100 kaki persegi setiap unit.
“Selain barang jualan, kebakaran turut memusnahkan beberapa buah kenderaan termasuk motosikal. Anggaran peratusan kemusnahan kebakaran pada gerai pula adalah sebanyak 80 peratus manakala motosikal sebanyak 90 peratus,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, kebakaran dapat dikawal dan telah berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 5.55 petang.
“Anggaran kerugian dan punca kebakaran bagaimanapun masih dalam siasatan,” katanya.-UTUSAN










