KUALA LUMPUR: Seramai 18 individu ditahan polis dipercayai bekerja sebagai scammer dalam serbuan di dua pusat panggilan di Jalan Ampang di sini hari ini.
Kegiatan penipuan yang menjadikan kondominium sebagai pusat panggilan selain mengupah kesemua suspek dengan bayaran kira-kira RM3,000 sebulan terbongkar apabila diserbu sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis (IPD) Wangsa Maju, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, kesemua tangkapan membabitkan 16 lelaki tempatan dan dua wanita berusia lingkungan 22 hingga 27 tahun.
Katanya, siasatan mendapati sindiket disyaki terbabit dengan penipuan pelaburan tukaran mata wang asing (forex) menyasarkan mangsa dipercayai di Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).
“Ahli sindiket akan mengajak mangsa untuk melabur melalui platform Poly X dan dijanjikan pulangan keuntungan 1.5 peratus setiap minggu bagi setiap pelaburan.
“Bagaimanapun selepas seminggu melabur mangsa tidak boleh mengeluarkan wang pelaburan mereka dari platform pelaburan itu.
“Setakat ini jumlah kerugian masih belum dikenalpasti berikutan semua mangsa di luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Wangsa Maju, di sini hari ini.
Menurut Mohamad Lazim, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan pemilik premis terbabit selain mengenal pasti dalang di sebalik sindiket berkenaan.
Katanya, kesemua suspek direman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Dalam serbuan terbabit, kita turut merampas pelbagai peralatan digunakan untuk kegiatan terbabit antaranya komputer, telefon bimbit, dan router internet.
“Nasihat saya kepada orang ramai sebelum buat pelaburan sila semak dengan agensi berkaitan.
“Sebarang jenayah atau aktivi mencurigakan sila hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 0321460584/0585 atau CCID Response Center, 03 2610 1559/1599,” katanya. – UTUSAN










