PETALING JAYA: Seramai 1,500 guru terpilih di seluruh negara akan menerima latihan khusus daripada Apple bagi meningkatkan kemahiran digital dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, latihan melalui kerjasama dengan Apple untuk melaksanakan Apple Learning Coach, program pensijilan profesional percuma yang melatih jurulatih instruksional dan para pendidik.
Menurutnya, inisiatif itu selaras dengan Dasar Pendidikan Digital (DPD) khususnya bagi Teras 2 yang memberikan keutamaan kepada pemerkasaan kompetensi digital pendidik melalui program pembangunan profesional yang berterusan.
“Sebagai permulaan, seramai 1,500 guru terpilih di seluruh negara akan menerima latihan khusus mulai tahun ini.
“Program ini sejajar dengan Teras 6 DPD iaitu bekerjasama dengan syarikat seperti Apple untuk mempercepat pencapaian visi DPD bagi melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing, menerusi peningkatan kemahiran 100,000 guru menjelang 2027,” katanya.
Peserta Apple Learning Coach akan mengikuti kurikulum dalam talian yang dibimbing oleh Apple Professional Learning Specialists merangkumi modul akses kendiri dan bengkel maya secara langsung selama dua hari.
Pembangunan profesional ini turut menyumbang kepada mata kredit pembelajaran profesional guru. – UTUSAN










