KUALA TERENGGANU: Sebanyak 15 buah bot nelayan Vietnam telah ditahan menerusi Op Naga Barat oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu sejak Januari sehingga kini.
Pengarah APMM negeri, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abdul Majid, berkata, penahanan itu melibatkan jumlah rampasan bernilai RM16.5 juta termasuk bot, peralatan memancing dan hasil laut.
Menurutnya, seramai 123 orang kru termasuk tekong warga Vietnam turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Sejak Op Naga Barat dilancarkan pada 2019, Maritim Malaysia Terengganu telah meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi membendung pencerobohan nelayan asing.
“Pada tahun ini, sebanyak 15 buah bot nelayan Vietnam telah ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti perikanan tanpa kebenaran dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam sidang akhbar susulan penahanan dua buah bot nelayan warga Vietnam berjumlah RM3 juta di Kuala Terengganu, di sini, semalam.
Menurut beliau, kedua-dua bot berkenaan ditahan ketika sedang leka menangkap ikan kira-kira pukul 3.30 petang dan 3.50 petang Khamis lalu pada kedudukan 95.01 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.
Ujarnya, pemeriksaan lanjut menemukan 20 kru termasuk tekong warga Vietnam berusia 20 sehingga 50 tahun yang tiada dokumen pengenalan diri dan ditahan untuk siasatan lanjut.
“Sebaik menyedari kehadiran kapal peronda Maritim Malaysia, mereka cuba bertindak agresif untuk melarikan diri namun usaha itu berjaya dipatahkan anggota penguatkuasaan dan dibawa ke jeti Maritim Malaysia negeri.
“Berdasarkan hasil tangkapan yang dirampas, nelayan berkenaan dipercayai sudah sekurang-kurangnya tiga hari menangkap ikan di perairan negara sebelum aktiviti mereka terbongkar
“Pelaksanaan Op Naga Barat menunjukkan keberkesanan apabila nelayan asing hanya berani menceroboh kawasan sempadan perairan antara Malaysia dan Vietnam,” tambah beliau. – UTUSAN










