PUTRAJAYA: Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles mengesahkan seorang warganegara Malaysia meninggal dunia semasa ekspedisi pendakian di Gunung Denali, Alaska, Amerika Syarikat.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles berhubung dengan ahli keluarga Allahyarham dan sedang memberikan bantuan konsular yang sewajarnya.
“Pihak Konsulat Jeneral Malaysia juga sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan usaha membawa turun jenazah dari kawasan pergunungan sedang giat dilakukan bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya hari ini.
Jelas Wisma Putra, kementerian juga ingin mengesahkan bahawa dua orang lagi pendaki warganegara Malaysia dimasukkan ke hospital dan sedang menerima rawatan.
Katanya, Konsulat Jeneral Malaysia sedang memantau keadaan kesihatan mereka dan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya.
“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Terdahulu media melaporkan, seorang pendaki Malaysia maut, manakala dua lagi selamat selepas terkandas selama tiga hari di gunung berkenaan.
Kelab Jelajah Alpine Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, mangsa yang maut dikenali sebagai Zulkifli Yusuf manakala dua mangsa selamat dikenali sebagai Zainudin Lot dan Illaham Ishak. – UTUSAN










