KLANG: Wartawan atau pengamal media di negara ini perlu menjaga kredibiliti dan terus memperjuangkan isu rakyat tanpa ada sebarang niat untuk menjadi popular.
Malah, golongan profesional itu juga perlu menjadi pejuang utama kepada masalah rakyat dan tidak sepatutnya merungut tentang perkara-perkara rempen yang tidak memberi sebarang faedah.
Bekas wartawan sebuah stesen televisyen yang dikenali ramai sebelum ini, Datuk Karam Singh Walia, berkata, sebagai pemberita, wartawan seharusnya ikhlas melaporkan berita kerana setiap laporan itu dilihat rakyat di seluruh negara.
“Kepada penggiat media yang baru masuk ke dunia kewartawanan jangan cuba mengejar glamor, paling penting sekali ialah buat kerja dengan hasrat, kemampuan, iltizam yang cukup mendalam dan penuh bermakna.
“Tidak perlu berfikir kejar glamor, kerana bila kita buat kerja dengan hasrat yang baik, ikhlas, rakyat di luar sana adalah penonton, pembaca berita kita. Mereka tahu sama ada wartawan itu betul-betul membantu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi,” katanya ketika ditemui semasa lawatan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Ni Ching dekat di Taman Sri Andalas, hari ini.
Tambahnya, wartawan juga merupakan harapan terakhir rakyat untuk membantu menyelesaikan atau menyampaikan pelbagai masalah rakyat.
“Bagaimanapun, daripada pemerhatian saya, kebanyakan wartawan baharu mudah mengalah dan membuat kerja separuh jalan cuma, tetapi tetap ada seorang dua yang berkaliber dalam memperjuangkan isu rakyat,” tegasnya.
Dalam lawatan tersebut, Karam Singh, 65, memaklumkan beliau kini menghidap penyakit hati dan buah pinggang sejak dua tahun lalu.
Nie Ching memberitahu, pihaknya membantu seramai 103 pengamal media setakat 31 Mei lepas melalui Tabung Kasih@HAWANA sejak ia diperkenalkan April tahun lalu.
“Setakat ini bantuan daripada tabung tersebut masih lagi mempunyai peruntukan untuk membantu seramai 90 orang pengamal media yang memerlukan bantuan. Hari ini sebagai ‘kawan’ saya menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA bagi membantu meringankan beban beliau,”ujarnya.
Karam Singh merupakan wartawan yang sinonim isu alam sekitar, berkhidmat dengan Media Prima bermula tahun 1995 dan bersara pada tahun 2014 kerana masalah kesihatan. – UTUSAN










