BAGAN DATUK: Pekerja ladang warga Bangladesh teruja apabila dapat menyertai program ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Masjid al-Quro di sini, semalam.
Mereka turut membantu tugas penyembelihan dan melapah daging lembu korban di masjid itu selepas menunaikan solat sunat Aidiladha.
Seorang daripada mereka, Muhammed Al-Makmur, 36, berkata, ini pertama kali dia dan rakan-rakannya menyertai program korban di negara ini.
Katanya, mereka dapat melihat ibadah korban yang dijalankan di negara ini meriah apabila dijalankan secara gotong royong.
“Ini kali pertama saya dan rakan-rakan seramai 11 orang menyertai program korban.
Sudah tentu kami teringatkan sambutan Aidiladha di tempat asal kami di Dhaka, Bangladesh namun sambutan di negara ini lebih meriah.
“Kami gembira dapat membantu penduduk melaksanakan ibadah korban. Menerusi pengalaman ini, kami juga dapat belajar tradisi makanan Melayu antaranya sup,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 10 ekor lembu korban disembelih pada program tersebut dan tiga daripadanya adalah pemberian Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi manakala selebihnya lembu korban penduduk kampung. – UTUSAN










