Wan Ahmad Fayhsal cadang Syed Abu Hussin berniaga ikan, beras 

Wan Ahmad Fayhsal cadang Syed Abu Hussin berniaga ikan, beras 

Kos sara hidup
WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menasihatkan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Syed Abu Hussin Syed Abu Fasal untuk ‘pencen’ sebagai ahli politik.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, terdapat kerjaya yang lebih sesuai untuk bekas ahli Bersatu itu.

“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada Ahli Parlimen Bukit Gantang. Mungkin kerjaya perniagaan ikan dan beras lebih sesuai untuk beliau. Boleh bantu lebih ramai rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ahli Parlimen Machang itu berkata demikian susulan kenyataan Syed Abu Hussin yang mendakwa dirinya masih sah sebagai wakil rakyat.

Terdahulu, media melaporkan, Syed Abu Hussin mendakwa dirinya kini merupakan Ahli Dewan Rakyat bebas, selepas beliau mengesahkan menerima satu notis rasmi kelmarin yang memaklumkan namanya sudah dikeluarkan daripada sistem keahlian Bersatu.

Beliau mendakwa, tindakan tersebut adalah untuk memecatnya sekaligus beliau masih Ahli Parlimen kerana tidak melanggar syarat pengosongan kerusi Dewan Rakyat di bawah perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal mencadangkan Syed Abu Hussin merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Katanya, Syed Abu Hussin juga boleh merujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan pandangan yang lebih arif.

“Saya begitu kagum dengan usaha Ahli Parlimen Bukit Gantang menumpukan masa dan tenaga untuk menyiapkan kenyataan akhbar 14 perenggan menjustifikasikan status kedudukan keahlian parti dan Parlimen beliau.

“Tapi, usaha ini sia-sia kerana semuanya boleh disanggah dengan satu infografik yang telah disediakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) seperti yang tertera dalam laman webnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN