KUALA LUMPUR: Isu kekurangan pakar bedah kardiotoraks yang dihadapi negara ketika ini dijangka mampu diselesaikan Oktober ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, Universiti Malaya (UM) bakal menawarkan kursus pembedahan kardiotoraks selepas mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Kesihatan.
Menurut beliau, kerajaan menyedari mengenai masalah dihadapi dan ingin menyelesaikan isu kekurangan pakar bedah kardiotoraks dengan kadar segera.
“Insya-Allah dalam tempoh terdekat isu-isu seperti ini akan kita selesaikan dengan kadar segera. Kita jangkakan pada Oktober nanti, kursus berkaitan kardiotoraks ini dapat diselesaikan.
“Maknanya (akan) ada laluan-laluan lain selain Universiti Teknologi Mara (UiTM), ada juga di universiti-universiti lain yang akan menawarkan,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dr. Zambry berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ramkarpal Singh Karpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang meminta beliau menyatakan langkah kerajaan untuk mengatasi masalah kekurangan pakar bedah kardiotoraks.
Dalam pada itu, Dr. Zambry berkata, pengekalan dasar UITM untuk kaum Melayu, Orang Asli dan anak Sabah dan Sarawak masih diperlukan dalam usaha untuk merealisasikan hasrat kerajaan merapatkan jurang antara kaum terutama apabila melibatkan aspek sosioekonomi.
“Laporan Kongres Ekonomi Bumiputera pada tahun 2024 oleh Kementerian Ekonomi menunjukkan masih terdapat jurang ekonomi melibatkan bumiputera dari segi purata pendapatan bulanan, pegangan ekuiti korporat, kadar kemiskinan, pengeluaran tenaga kerja mahir serta kelayakan profesional.
“Malah kadar miskin mutlak dalam kalangan bumiputera masih memerlukan usaha secara berterusan untuk diperbaiki,” jelasnya.
Kata beliau, penubuhan UiTM sudah membantu ramai anak-anak bumiputera memperoleh peluang menyambung pengajian dan dilatih untuk mengisi pelbagai jenis jawatan sama ada dalam sektor awam mahupun dalam sektor industri.
“Penubuhan UiTM adalah sebagai respons terhadap kekurangan golongan profesional yang terlatih, terutama dalam kalangan kaum bumiputera di Malaysia yang rata-ratanya terlibat dalam sektor pekerjaan tidak mahir pada ketika itu,” katanya.- UTUSAN










