Dr. Mahathir nafi buat keputusan sendiri.

Dr. Mahathir nafi buat keputusan sendiri

Tun Dr Mahathir Mohamad hadir bagi memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya sebelum ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau membuat keputusan secara bersendirian berhubung tindakan menarik balik permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman Batu Puteh pada 2018, sebaliknya ia diputuskan oleh Kabinet ketika itu.

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, beliau hanya memberi pandangan untuk tidak meneruskan rayuan keputusan tersebut selepas menerima nasihat dan taklimat daripada perunding dan pakar perundangan.

Menurutnya, selaku Perdana Menteri pada waktu itu, beliau mempunyai kuasa dan boleh membuat keputusan, namun telah memilih sebaliknya iaitu memberikan pendapat melalui surat kepada peguam cara.

“Saya tidak pernah buat apa-apa keputusan bersendirian, saya juga baca kesemua laporan termasuk laporan kes-kes terdahulu, mereka beri pendapat bahawa kes kita lemah, itu ditulis dalam satu surat.

“Brendan Plant (konsultan) datang jumpa saya dan terangkan tentang kedudukan, beliau berpendapat bahawa kes kita itu lemah dan tiada ‘silver bullet’ untuk tentukan kita dapat kemenangan,” katanya menerusi sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini semalam.

Pada 1 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, Perdana Menteri (ketika 2018) yang membuat keputusan sembunyi-sembunyi adalah individu yang bertanggungjawab menyebabkan Malaysia kehilangan Batu Puteh dalam proses rayuan di mahkamah antarabangsa.

Dedahnya, Perdana Menteri itu membuat keputusan bersendirian tanpa sesiapa mengetahuinya, termasuk Peguam Negara yang bercuti ketika itu.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, Jemaah Kabinet pada ketika itu juga tidak menentang mahu pun menolak idea tersebut.

“Pada masa itu, ketika sidang Parlimen, saya tidak membuat apa-apa keputusan, saya hanya menyatakan pendapat jadi perkara itu dibawa ke Kabinet dan saya menerangkan segala-galanya tentang apa yang Brendan katakan.

“Dan Kabinet tidak menentang atau tidak menolak idea bahawa kita tidak harus meneruskan langkah kita, jadi itu adalah keputusan muktamad, keputusan dibuat oleh Kabinet bukan saya seorang.

“Ketika itu dalam Kabinet termasuk Wan Azizah (bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) dan ramai menteri lain, mereka mendengar saya dan mereka tidak berkata tidak kepada idea itu,” ujarnya.

Selain itu, Dr Mahathir turut menempelak Azalina yang mendakwa beliau telah membuat keputusan secara sembunyi tanpa berunding dengan mana-mana pihak.

Terdahulu Dr Mahathir tampil memberi keterangan selama hampir dua jam kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN