Tukang kebun mengaku salah aniaya anjing didenda RM2,500 - Utusan Malaysia

Tukang kebun mengaku salah aniaya anjing didenda RM2,500

MD. Yusof Majid (tengah) dibawa keluar selepas mengaku bersalah menganiaya seekor anjing di Mahkamah Majistret Kulim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang tukang kebun didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya seekor anjing di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Junjung pada Ahad lalu.

Tertuduh, Md. Yusof Majid, 66, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Jamaliah Abd. Manap.

Majistret turut memerintahkan agar Md. Yusof dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara mengikat kaki anjing lalu mengheret haiwan tersebut menggunakan sebuah motosikal di hadapan SMK Junjung, di sini kira-kira pukul 7.30 pagi, 9 Jun lalu.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Jamaliah dalam penghakimannya berkata tertuduh tidak sepatutnya bertindak sendiri, sebaliknya perlu melaporkan kejadian kepada pihak sekolah dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar.

Hujahnya, walaupun mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh, namun hukuman yang dikenakan adalah sebagai pengajaran dan turut menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi kesilapan sama pada masa depan.

Peguam tertuduh, Amir Hamzah A. Rahman memohon hukuman denda paling ringan dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sebagai tukang kebun selain menghidap penyakit jantung, sawan dan darah tinggi serta faktor umur yang sudah meningkat.

“Dalam kes ini, tertuduh bertindak sedemikian kerana anjing itu didakwa membuang najis di beberapa tempat persekitaran sekolah. Tertuduh telah menyesal dengan perbuatannya dan menangis ketika menunggu perbicaraan bermula,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong bagaimanapun memohon hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran kepada dirinya selain kepentingan masyarakat .

Sebelum ini tular video memaparkan kejadian seorang lelaki mengikat anjing menggunakan tali serta sebatang kayu selain turut menunjukkan kecederaan pada anjing akibat diseret. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×